Meskipun berusaha keras untuk pulih sepenuhnya sempena aksi pembukaan MotoGP musim 2022 dua minggu lalu di Qatar, Marc Marquez disahkan kembali alami kecederaan susulan kemalangan di Litar Mandalika, baru-baru ini.
Marquez telah disahkan tidak cergas untuk pusingan kedua di Litar Mandalika pada Ahad selepas mengalami ‘highside’ di Turn 7 sewaktu sesi pemanas badan.
Pasukan perubatan kemudiannya mengesahan Marquez alami gegaran di kepala (concussion) sekaligus memaksa pasukan Repsol Honda merehatkan enam kali juara dunia MotoGP itu.
Bagaimanapun, sebaik pulang ke Sepanyol, Marquez akui alami ketidakselesaan di matanya lantas melalui satu pemeriksaan di Hospital Barcelona yang mengesahkan dia kembali alami diplopia selepas mengalami kecederaan sama November lalu.
Namun, pemeriksaan lanjut juga membebaskan pelumba itu daripada sebarang kecederaan serius lain.
Status semasa Marquez ketika ini secara tak langsung menjejaskan persiapan musim ini dengan saingan MotoGP kembali bersambung 3 April ini di Argentina.