QJMotor Lancar Jentera 700cc Tak Lama Lagi – 198kg, 75HP

Motosikal kategori ‘sportsbike’ segmen pertengahan semakin mendapat permintaan tinggi dikalangan peminat dua roda seluruh dunia.

Permintaan mendadak itu juga membawa kepada lahirnya Yamaha R7, Aprilia RS660 dan akan datang Honda Hornet.

Difahamkan, pengeluar motosikal China, Qianjiang juga akan sertai kategori ‘sportsbike’ segmen pertengahan dengan dua jentera bernadikan enjin parallel-twin 693cc yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Meskipun tarikh pelancaran belum ditentukan namun dokumen pengesahan yang difailkan di China telah pun mendedahkan rupa dua jentera tersebut berserta beberapa spesifikasi asas.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan apakah nama yang akan diberikan terhadap jentera 700cc terbaru ini namun melihat kepada model 600cc dinamakan sebagai 600RR berkemungkinan besar model terbaru ini akan dilabel sebagai 700RR.

Apa pun, kedua-dua varian ini dijana enjin parallel-twin 693cc yang sama terdapat pada QJMotor SRK700.

Menariknya, walaupun enjin tersebut dibangunkan sendiri Qianjiang namun bentuk dan rekaan enjin menyamai 700CL-X milik CFMoto termasuk bore dan stroke yang berada pada 83mm dan 64mm.

Seperti SRK700, dua model baharu ini dibangunkan dengan kerangka steel tube dan dipadankan bersama suspensi Marzocchi.

Qianjiang juga telah pun menandatangani kerjasama dengan Marzocchi untuk menghasilkan komponen buatan Itali itu di China.

Perbezaan utama yang membezakan model asas dan model ‘flagship’ adalah penggunaan ‘swingarm’ jenis single-sided, fork depan berwarna emas dan tayar lebih lebar di belakang, 190/55-17 berbanding 180/55-17 pada model asas.

Bagaimanapun, kedua-dua model ini ternyata menampilkan rekaan moden dan agresif dengan kehadiran winglet dan kaliper brek jenis ‘axial’ jenama Nissin.

Qianjiang ternyata antara pengeluar dari negara Tembok Besar China itu yang paling sibuk dan agresif dalam memperkembangkan jenama QJMotor ke serata dunia ketika ini.

Selain menjadi pemilik kepada Benelli sejak 2005, Qianjiang juga berjaya memeterai perjanjian bersama Harley-Davidson bagi pembangunan 338R, serta MV-Agusta bagi model Lucky Explorer 5.5 yang berkongsi platfrom sama dengan TRK 502.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.