Kajian Terbaru Buktikan Lebih Stres Pandu Kereta Dari Tunggang Motosikal

Advertisements

Kajian daripada Institut Neurosains dan Tingkah Laku Manusia di Universiti California Los Angeles (UCLA) mendapati penunggang motosikal berdepan tahap stres yang lebih rendah berbanding pemandu kereta.

Kajian tersebut dijalankan pada awalnya untuk mengkaji sama ada penunggang motosikal menunggang dengan perasaan takut berdepan kecelakaan jalan raya.

Bagaimanapun, eksperimen tersebut secara tidak langsung membuktikan penemuan yang sebaliknya.

Kajian tersebut memfokuskan terhadap hormon kortisol yang dirembes dalam otak ketika seseorang itu berasa gusar.

Namun, saintis mendapati penunggang motosikal menghasilkan tahap kortisol lebih rendah berbanding pemandu kereta.

Ini sekaligus membuktikan pemandu kereta berdepan tekanan yang lebih tinggi berbanding penunggang motosikal.

Ekseprimen terkawal oleh INHB itu babitkan 50 penunggang motosikal dan 50 pemandu kereta dengan masing-masing menunggang serta memandu dalam litar tertutup selama 20 minit.

Sewaktu kajian berjalan, INHB merekodkan kadar degupan jantung, tahap kortisol serta adrenalin.

Namun, aktiviti otak merupakan aspek yang menghadirkan keputusan yang paling mencuri tumpuan.

Ini kerana keputusan ujian mendapati sewaktu menunggang motosikal, subjek memaparkan fokus dan rangsangan yang lebih tinggi serta tidak terkesan dengan gangguan luar.

Bukan itu sahaja, tahap adrenalin dan degupan jantung juga menunjukkan peningkatan namun kadar penghasilan kortisol memaparkan penurunan, 28 peratus lebih rendah berbanding pemandu kereta.

Senario itu menyamai seseorang yang telah melakukan senaman ringan, yang sememangnya terbukti membantu menurunkan stres.

Ini sekaligus membuktikan aktiviti menunggang motosikal berkait rapat dengan kesihatan minda apatah lagi sudah terbukti bahawa menunggang motosikal selama satu jam juga boleh bantu bakar antara 170 hingga 600 kalori.

Advertisements