MotoGP: Yamaha Bergelut Di Qatar, Quartararo Akui Risau

Advertisements

Perasaan kecewa jelas terpampang di muka pertahan juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo apabila sekadar menamatkan pusingan pembukaan musim 2022 di tempat kesembilan.

Selain gagal menempatkan diri di podium, pelumba Perancis itu juga gagal memberi saingan dengan kelompok depan dan tiba ke garisan penamat dengan jarak +10.543 saat berbanding pemenang, Enea Bastianini.

Keputusan kurang memberangsangkan itu juga membuatkan Quartararo berasa risau akan peluang jentera Yamaha musim ini sebaik tamat perlumbaan.

“Tahun lepas kami menang kedua-dua perlumbaan tapi kali ini kami berada jauh di belakang jadi sudah tentu saya risau.

“Saya boleh katakan yang saya tidak rasa yakin. Saya sekadar bermula di barisan keempat dan terpaksa memasuki Q1 di Qatar.

“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bukan seorang jurutera,” jelasnya.

Sementara itu, Quartararo mendedahkan masalah utama berpunca daripada cengkaman tayar depan yang melanda seawal dua lap pertama.

“Saya bermula baik tetapi selepas dua lap sahaja, tekanan tayar depan naik mendadak.

“Sejujurnya saya tidak tahu apa yang berlaku,” tambah Quartararo.

Selain Quartararo, rakan sepasukan, Franco Morbidelli juga gagal menyerlah, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-11.

Sementara itu, pasukan satelit Yamaha, RNF Racing juga terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-14 menerusi Andrea Dovizioso manakala Darryn Binder sekadar P16.

Saingan pertama di Qatar menyaksikan pelumba Gresini Racing, Bastianini merekodkan kemenangan sulung di kelas premier sementara wakil KTM, Brad Binder serta pelumba Honda, Pol Espargaro melengkapkan podium ditempat kedua dan ketiga.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung 20 Mac ini di Litar Mandalika, bagi GP Indonesia.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.