MotoGP: Marc Marquez Calonkan Diri Sendiri Pilihan Juara Musim 2022

Kejuaraan Dunia MotoGP 2022 bakal membuka tirai hujung minggu ini di Litar Losail, Qatar.

Menjelang aksi pusingan pertama musim ini, tumpuan terarah kepada enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez yang dilaporkan sudah pun kembali cergas sepenuhnya.

Sewaktu sesi temu bual MotoGP bersama beberapa pelumba lain, Marquez ketka diajukan soalan siapakah yang bakal muncul juara di kelas premier MotoGP musim ini, pelumba Repsol Honda itu mencalonkan dirinya sendiri.

Meskipun ada pihak yang menganggap tindakannya itu sebagai satu gurauan namun melihat kepada reaksi Marquez sewaktu ujian pra-musim di Sepang dan Mandalika, ternyata dia sudah kembali mendapatkan sentuhan sebenar.

“Saya sangat gembira untuk berada disini.

“Ujian di Malaysia dan Mandalika cukup penting dan selepas Mandalika, saya rasa keadaan fizikal saya telah meningkat dan itu satu perkembangan baik.

“Apa yang pasti bagi musim 2022, saya mahu mencabar kejuaraan dunia bersama pelumba lain,” jelasnya.

Bagaimanapun, Marquez mendedahkan dia mungkin belum bersedia sepenuhnya untuk perlumbaan pertama hujung minggu ini.

“Mungkin untuk GP Qatar saya belum bersedia, tetapi hujung minggu ini pasukan akan tahu di mana posisi kami sebenarnya,” tambah pelumba berusia 29 tahun itu.

Meskipun Marquez beri bayangan belum bersedia menghadapi GP Qatar, pertahan juara, Fabio Quartararo berpendapat sebaliknya.

“Jentera Honda (RC213V) memaparkan kelajuan yang mengagumkan. Anda juga boleh lihat bagaimana jentera mereka berkerja dalam cara yang berbeza,” ujarnya.

Quartararo juga menyifatkan Marquez nampak lebih selesa manakala aspek membrek Honda juga pamerkan peningkatan sewaktu ‘stop and turn’.

Perkembangan jentera RC213V sememangnya amat mencuri tumpuan, apatah lagi Marquez sendiri sifatkan mesin Honda itu menawarkan watak yang sangat berbeza.

“Mereka (pasukan) telah melakukan naik taraf besar pada jentera tersebut.

“Sejujurnya saya rasa seperti menunggang jentera jenama lain kerana perasaannya cukup berbeza.

“Sejak sertai Honda, pasukan sentiasa membuat kemas kini tetapi watak jentera kekal sama namun sekarang sangat berbeza,” tambahnya.

Perkembangan terbaru kem Repsol Honda dengan jentera RC213V 2022 ini ternyata bakal menyumbang kepada musim yang cukup rancak kali ini.

Ketika penutup 2021 menyaksikan perebutan dua penjuru antara Quartararo (Yamaha) dan Francesco Bagnaia (Ducati), pembukaan tirai 2022 mungkin menyaksikan cabaran yang lebih sengit babitkan Yamaha, Ducati, Aprilia, Honda, Suzuki serta KTM.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]