Sebelum ini, kami telah pun melaporkan bahawa Yamaha YZF-R15 2021 telah pun mendarat di Indonesia pada Disember tahun lalu selepas pelancaran global di India pada September 2021.
Kini tiba giliran negara jiran, Singapura yang menerima motosikal tersebut menerusi salah satu pengedar di negara itu.
Menurut foto dikongsikan akaun Facebook i-Motoring Singapore, model V4 itu datang dengan dua varian, R15 standard dan R15M serta sebuah lagi model dengan ‘livery’ Movistar MotoGP.
Ketiga-tiga varian didatangkan dengan enjin 155cc VVA dengan penyejukan cecair, 4-stroke SOHC yang menjana 18hp pada 10,000rpm dan 14.2Nm pada 7,500rpm dan dibantu transmisi 6-kelajuan dengan fungsi klac Assist & Slipper.
Meskipun hanya bersesaran 155cc namun jentera generasi ke-4 ini tampil dengan sistem Traction Control dan Quickshifter sekaligus menjadikan motosikal pertama dalam segmennya yang menawarkan kedua-dua fungsi tersebut.
Difahamkan, pasaran Malaysia juga bakal disajikan dengan R15 V4 termasuk varian R15M tidak lama lagi dan bakal mencabar Honda CBR150R serta Suzuki GSX-R150 yang juga akan diperkenalkan dalam masa terdekat.