Pemilik Bengkel Maut Ditikam, Dituduh Tukar Komponen Motosikal

Seorang pelanggan telah bertindak menikam pemilik bengkel motosikal menggunakan senjata tajam dalam satu kejadian yang berlaku di Pekan Titi Serong, Parit Buntar, Perak.

Mangsa, yang berusia 43 tahun disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman, yang turut memaklumkan kejadian berlaku ekoran suspek menuduh mangsa menukar beberapa komponen motosikal miliknya, tiga minggu lalu.

“Mangsa yang maut disahkan sebagai Tan Hee Song,43 dan tinggal di Nibong Tebal,” jelasnya.

Menurut info yang dikongsikan ahli keluarga, mangsa telah menjalankan perniagaan bengkel motosikal tersebut sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, suspek, berusia 52 tahun telah pun menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima pada hari yang sama pada jam 2.45 petang.

Kes telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BH

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.