Yamaha Dan Toyota Bangunkan Enjin Hidrogen V8 5.0L Bersama

Advertisements

Selepas beberapa tahun syarikat automotif dunia mendedahkan enjin hidrogen sebagai pilihan yang lebih bersih untuk masa depan, akhirnya terdapat perkembangan yang kukuh mengenai platform terbaru itu.

Pengeluar motosikal Jepun, Yamaha akan berganding bahu dengan pengeluar kereta, Toyota, dalam membangunkan enjin hidrogen V8 5.0L.

Pengesahan itu dibuat pihak Yamaha dalam satu kenyataan rasmi yang dikongsikan minggu lalu.

Menurut Yamaha, enjin tersebut bukanlah serba baharu, sebaliknya menggunakan platform sama yang ketika ini digunakan Lexus RC F.

Bagaimanapun, terdapat beberapa modifikasi besar dilaksanakan di bahagian ‘injector’, ‘head’, ‘intake manifold’ bagi melahirkan versi hidrogen.

Difahamkan, enjin hidrogen V8 5.0L itu berkeupayaan menghasilkan kuasa yang cukup mengagumkan, 449hp pada 6,800rpm dan 540Nm pada 3,600rpm.

Meskipun angka tersebut lebih rendah berbanding enjin V8 yang menggunakan petrol namun bagi sebuah enjin yang serba baharu, kuasa dihasilkan adalah cukup baik.

Sementara itu, menurut jurutera Yamaha, Takeshi Yamaha, enjin baharu tersebut akan membuat pengguna berasa gembira untuk menggunakannya.

“Enjin hidrogen lebih mesra digunakan. Rata-rata yang sebelum ini berasa skeptikal, bertukar gembira setelah selepas pandu uji kereta prototaip,” jelas Yamada.

Bagi yang kurang yakin dengan kerjasama Yamaha dan Toyota, perlu diingatkan kedua-dua pihak telah pun menjalinkan usahasama yang berjaya sebelum ini, termasuk pembangunan enjin V10 4.8L bagi model ‘hypercar’ Lexus LFA.

Advertisements