MotoGP: Dorna Enggan Anjur Perlumbaan Di Negara Yang Wajibkan Kuarantin


Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta, menegaskan bahawa Kejuaraan Dunia MotoGP akan dikurangkan kepada 19 perlumbaan sekiranya terdapat lokasi perlumbaan yang mewajibkan kuarantin.

Bagi Ezpeleta, Dorna lebih sanggup mengurangkan pusingan perlumbaan dari 21 ke 19 daripada menjalani kuarantin di negara yang menguatkuasakan perkara itu susulan varian Omicron.

“Jika kami dimaklumkan bahawa perlu menjalani kuarantin sehingga 14 hari, jawapan kami jelas. Kami tidak akan ke negara itu.

“Bagi negara lain yang tidak memerlukan kuarantin, mereka boleh meminta sijil vaksinasi lengkap atau sebarang dokumentasi seperti yang dilakukan tahun lalu,” ujar Ezpeleta.

Ketika musim 2021, hanya 18 pusingan MotoGP berlangsung dengan pusingan di Jepun, Finland, Australia, Malaysia dan Thailand dibatalkan ekoran krisis Covid-19.

Kecuali pusingan di Qatar dan Amerika Syarikat, kesemua pusingan lain hanya berjalan di benua Eropah ekoran rata-rata negara luar mewajibkan kuarantin antara tujuh hingga 14 hari.

Bagaimanapun, Malaysia dijangka akan kembali menganjurkan MotoGP musim 2022 bermula dengan ujian pra-musim yang dijadualkan berlansung pada 4 hingga 5 Februari ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]