Honda ADV 350 Bakal Diperkenalkan

Ketika Honda mempersembahkan sebuah skuter konsep dengan pengayaan adventure pada 2015, ramai yang mempersoalkan tindakan tersebut namun sebaik model sebenar diperkenalkan menerusi X-ADV 750, segala persoalan bertukar menjadi pujian.

X-ADV 750 telah pun memasuki generasi kedua dan motosikal skuter ala adventure itu terus mencuri tumpuan sehingga kini.

Sebelum itu, pengeluar motosikal Jepun itu turut memperkenalkan ADV 150, skuter 150cc yang diinspirasikan daripada X-ADV 750.

ADV 150 juga mencapai populariti terutamanya di Asia termasuk di Malaysia kerana selain tampil dengan rekaan menarik, spesifikasi berkualiti antaranya suspensi Showa turut mencuri perhatian.

Honda sebelum ini telah pun memfailkan paten nama ADV 350 pada awal 2021 namun dalam perkembangan terbaru, paten sama juga telah difailkan di Eropah sekaligus mengesahkan kehadiran model itu tidak lama lagi.

Berdasarkan dokumen paten tersebut Honda ADV 350 itu bakal dikuasakan enjin sama dari Forza 350 dan menawarkan 29hp pada 7,500rpm.

Menurut laporan media antarabangsa, model baharu itu juga besar kemungkinan mengguna pakai kerangka sama seperti Forza 350 berdasarkan ukuran dimensi yang dinyatakan.

Buat masa ini tiada info lebih terperinci termasuk tarikh pelancaran model baharu itu. Bagaimanapun, mungkin ADV 350 antara kejutan bakal disajikan Honda di EICMA 2021 nanti.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.