Zongshen Dedah Model Konsep Cyclone RA9 – Enjin V-Twin Aprilia, 112hp

Pengeluar motosikal China, Zongshen, telah mendedahkan sebuah model konsep yang dinamakan Cyclone RA9 di CIMA Motor Show 2021, baru-baru ini.

Zongshen merupakan antara jenama motosikal terbesar di China yang turut menjalinkan kerjasama dengan Piaggio Group.

Kerjasama itu menyaksikan Zongshen bertanggungjawab memasang motosikal Aprilia di China antaranya babitkan model 125 hingga 250cc.

Hasil kerjasama tersebut juga memainkan peranan besar dalam penghasilan Cyclone RA9 yang mengguna pakai kerangka, enjin serta beberapa komponen dari model Aprilia.

Sebagai contoh, chasis jenis tubular steel adalah dari Aprilia Shiver dan Dorsoduro.

Bagaimanapun, Zongshen menerapkan beberapa komponen baharu antaranya ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’ dan reka bentuk yang lebih radikal dengan tempat duduk tunggal.

Cyclone RA9 ini juga bernadikan enjin 987cc V-Twin DOHC dari Aprilia dengan Zongshen mendakwa menawarkan sekitar 112hp pada 9,500rpm dan 97.6Nm pada 7,500rpm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

brek kaliper J.Juan
Bosch ABS dwi-saluran
suspensi boleh laras
berat 215kg