RASMI: CFMoto Sertai Moto3 Musim 2022

Jenama motosikal China, CFMoto disahkan bakal menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2022.

CFMoto bakal menjadi jenama keempat dibawah payung Pierer Mobility Group selain KTM, Husqvarna dan GASGAS untuk beraksi di perlumbaan dunia itu.

CFMoto akan bekerjasama dengan PruestelGP Team bersama dua jentera binaan KTM yang akan memaparkan jenama motosikal China tersebut.

PruestelGP Team juga akan turut bersaing di bawah bendera China.

Berbanding KTM, Husqvarna dan GASGAS, CFMoto bukanlah syarikat pengeluar motosikal yang termasuk dalam portfolio Pierer Mobility Group namun merupakan antara syarikat yang menjalinkan kerjasama erat dalam penghasilan dan pengedaran motosikal KTM di pasaran Asia.

CFMoto turut membangunkan beberapa model sendiri menggunakan enjin KTM antaranya model adventure 800MT yang dikuasakan enjin 790 Adventure.

Penyertaan CFMoto di Moto3 pastinya mengukuhkan lagi dominasi KTM di kelas itu musim depan apatah lagi ketika ini menguasai tujuh daripada kelompok 10 teratas kelas tersebut musim ini.

Bagaimanapun, masih belum diumumkan siapakah yang bakal membarisi skuad PruestelGP CFMoto bagi musim 2022.

CFMoto menjadi pasukan dari China yang ketiga beraksi di Moto3 selepas Loncin pada lewat 2000 dan Zonghsen pada 2005.