Honda Bakal Lancar CBR1000RR-R SP2 2022?

Honda CBR1000RR-R Fireblade yang dilancarkan pada lewat 2019 merupakan jentera serba baharu yang diperkenalkan Honda dalam usaha mencabar Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK).

Dibangunkan dengan teknologi MotoGP antaranya chasis dan winglet aerodinamik serta enjin 999.7cc serba baharu, Honda turut melancarkan varian SP sejurus selepas itu.

Bagaimanapun, pertaruhan Honda seakan tidak menjadi di WorldSBK yang masih bergelut untuk bersaing dengan jentera Jepun lain termasuklah enam kali juara dunia Jonathan Rea di Kawasaki.

Meskipun berjaya memancing Alvaro Bautista yang merekodkan 11 kemenangan WorldSBK 2019, CBR1000RR-R SP itu sekadar merekodkan satu podium pada 2020 (tempat ketiga di Aragon).

Musim ini lebih malang, apabila CBR1000RR-R SP gagal menghadirkan sebarang podium sementara Kawasaki dan Yamaha bersaing sengit dengan jentera ZX-10RR dan YZF-R1 masing-masing.

Dalam perkembangan terbaru, Honda dilaporkan sedang membangunkan Fireblade SP2, sebagai jentera yang dikemas kini bagi tahun 2022.

*Honda VTR1000 SP2

Jika percaturan kali ini menjadi, CBR1000RR-R Fireblade SP2 bakal menandakan kebangkitan Honda di WorldSBK sepertimana dilakukan pada 2022, apabila VTR1000 SP2 membantu jenama Jepun itu muncul juara dunia dengan pelumba Colin Edwards.

Sementara itu, timbul dakwaan bahawa Fireblade SP2 ini adalah jentera edisi terhad dengan hanya 500 unit akan dihasilkan dengan fokus utama membangunkan enjin lebih berkuasa dengan jentera yang lebih ringan.

Antara ciri lain yang dijangka diperkenalkan adalah penggunaan fork Ohlins, brek Brembo serta rim jenis ‘forged alloy’.

Apa yang pasti, dua pelumba baharu bakal dipertanggungjawabkan untuk membawa cabaran Fireblade SP2 ini tatkala Bautista akan kembali ke Aruba.it Ducati musim depan manakala Leon Haslam berpindah ke Siri Superbike British (BSB).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.