Moto3: Tak Puas Hati Dengan Layanan Terhadap Bapa, Foggia Tekad Tinggalkan Leopard Racing

Pelumba Moto3, Dennis Foggia, tekad meninggalkan Leopard Racing hujung musim ini selepas tidak puas hati dengan layanan pasukan itu terhadap ayahnya ketika di GP Austria.

Difahamkan, Leopard Racing telah membatalkan pas kebenaran milik ayah pelumba itu sekaligus tidak dibenarkan untuk berada di ‘paddock’ sebelum diusir ke tempat duduk penonton bagi menyaksikan anaknya menaiki podium, hujung minggu lalu.

Foggia kemudian meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasukannya kepada Sky Italia.

“Ayah saya telah dipaksa keluar dari ‘paddock, keputusan ini sangat tidak adil. Dia terpaksa menyaksikan dari tempat penonton,” jelasnya.

Foggia kemudiannya menegaskan dia enggan kekal bersama pasukan itu dan mahu berhijrah ke Moto2 musim depan meskipun masih terikat kontrak.

“Bagi saya, tiada siapa yang boleh menghalang saya untuk ke Moto2 tahun depan walaupun saya masih terikat dengan kontrak.

“Saya enggan kekal dalam kategori ini (Moto3) ataupun pasukan ini,” tambah Foggia.

Foggia telah pun beraksi selama dua musim bersama Leopard Racing dan mengutip tiga kemenangan.

Pelumba berusia 20 tahun itu kini menduduki tempat keempat kejuaraan dunia Moto3 dengan 102 mata, 94 mata dibelakang pendahulu, Pedro Acosta.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]