MotoGP: Bukan Masalah Untuk Saya Berlumba Seorang Diri – Quartararo

Yamaha telah mengejutkan ramai pihak apabila membuat keputusan untuk menggantung Maverick Vinales daripada menyertai perlumbaan GP Austria yang berlangsung hujung minggu ini.

Keputusan itu dibuat setelah Yamaha dapati terdapat tindakan diluar kebiasaan sewaktu Vinales mengendalikan jentera factory M1 di GP Styria, minggu lalu.

Rakan sepasukan, Fabio Quartararo, enggan mengulas lanjut mengenai situasi Yamaha-Vinales sebaliknya berpendapat fokusnya hanyalah beraksi di Red Bull Ring.

“Saya enggan komen tentang apa yang berlaku.

“Sukar untuk membuat ulasan lanjut tentang perihal ini, saya rasa lebih baik tanya Yamaha.

“Secara peribadi, saya rasa bukan satu masalah untuk berlumba seorang diri,” jelas Quartararo.

Pada masa sama, Quartararo berpendapat meskipun penting untuk berkongsi informasi antara dua pelumba namun dia yakin mampu untuk beri saingan seperti kebiasaan.

“Berdasarkan kekuatan sendiri saya mampu bersaing untuk kedudukan pertama.

“Saya mempunyai sasaran sendiri jadi saya tidak perlukan pelumba lain untuk membuat perbandingan, saya tiada masalah seorang diri di dalam garaj,” tambah pelumba Perancis itu.

Dalam perkembangan terbaru, Vinales dijangka akan memberi penjelasan penuh terhadap situasi yang menimpanya berdasarkan perkongsian di Instagram.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.