Anggota bomba sambut kelahiran bayi di dalam kereta

“Kepala bayi sudah hendak keluar dah ni!” jeritan seorang ibu yang berada dalam kesakitan hendak melahirkan anak semalam masih terngiang-ngiang dalam fikiran Pegawai Bomba Kanan II Nor Syuhadah Ahmad, 33, sehingga kini.

Pengalaman menyambut bayi perempuan di tempat duduk hadapan kereta di perkarangan tempat bekerja beliau di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dekat sini adalah perkara yang cukup luar biasa bagi Nor Syuhadah.

Nor Syuhadah yang memang tiada pengalaman dalam urusan kelahiran bayi, malah belum mendirikan rumahtangga berkata, beliau terpanggil untuk memberikan bantuan kepada Nyak Siti Nurleena Zulkarnain, 29, yang membatalkan hasrat ke Hospital Shah Alam bersama suami, sebaliknya mencari pertolongan terdekat di BBP Kota Anggerik kerana air ketuban telah pecah.

“Berbekalkan sarung tangan perubatan, saya bertawakal kepada Allah dengan niat hendak menolong wanita itu yang berada dalam kesakitan kerana bayi sudah hendak keluar ketika itu.

“Saya berdebar, baca doa banyak-banyak dan kemudiannya bayi itu keluar, menangis. Saya terbalikkan bayi itu dan mengusapnya, memastikan saluran pernafasan tidak terhalang, dan kemudiannya ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nor Syuhadah berkata sebagai anggota bomba, walaupun latihan hanya tertumpu kepada kebakaran, naluri kemanusiaan mendorong beliau untuk menolong wanita itu, dan beliau gembira apabila kedua-dua ibu dan bayi perempuannya selamat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata Nyak Siti Nurleena serta suami yang dalam perjalanan ke hospital itu memohon bantuan di BBP Kota Anggerik sekitar pukul 7 malam semalam, dan pada masa yang sama anggota bomba telah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bantuan.

“Pada 8.28 malam seorang bayi perempuan, yang merupakan anak kelima Nyak Siti Nurleena serta suami telah selamat dilahirkan, disambut oleh anggota bomba dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply