Persiapan Azizulhasni Ke Olimpik Ditemani Basikal WX-R Vorteq Bernilai RM300,000

Advertisements

Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo dengan basikal WX-R Vorteq.

Menurut Azizulhasni, basikal tersebut merupakan hasil daripada projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah menelan belanja RM13 juta hasil pelaburan besar Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama TOTALISM Ltd sejak empat tahun lalu.

Basikal tersebut akan turut digunakan seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan masing-masing dibekalkan tiga basikal setiap seorang.

Berdasarkan laporan media tempatan, basikal tersebut merupakan versi akhir dan tampil dengan warna hitam dan perak menggantikan model sebelum ini yang berwarna hitam rata.

“Sebenarnya dari segi rangka yang digunakan dalam latihan (versi lama) dan yang akan dibawa ke Olimpik adalah sama. Cuma versi terakhir mungkin beza dari segi warna dan kualiti lebih mantap.

“Ia tidak lagi akan dilengkapi dengan power meter kerana dalam perlumbaan sebenar kita tidak perlu mengukur kelajuan dan memperoleh data seperti latihan, hanya tumpu kepada tujuan untuk memenangi perlumbaan,” jelas Azizul.

Difahamkan, kos bagi seunit basikal WX-R Vorteq tersebut dianggarkan sekitar RM300,000. – BH

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.