Honda telah pun memperkenalkan CBF190TR sekitar 2019 di China, sebelum mengemaskini model tersebut setahun selepas itu.
Bagaimanapun, memasuki 2021, Honda kini melancarkan CBF190TR versi ‘Special Edition’.
Selain tampil dengan rekaan yang sama, CBF190TR kini tampil dengan pilihan warna Grey dengan kemasan Hitam dan Merah.
Bahagian depan juga telah dinaik taraf dengan penggunaan penghadang angin di bahagian atas lampu LED depan.
Ciri lain yang turut terdapat pada versi ‘Special Edition’ ini adalah pelindung radiator, tempat duduk kulit berwarna perang dan nombor 93 terpampang di bahagian sisi yang kami rasakan merujuk kepada Marc Marquez.
Namun, CBF190TR ini kekal dikuasakan enjin 184.4cc dengan penyejukan udara yang menjana 16.6hp dan 16.3Nm, sebagai rujukan, SYM VF3i 185 Pro menawarkan 19.7hp dan 17.4Nm di Malaysia.
Antara ciri lain yang masih dikekalkan adalah paparan digital LCD, fork upside/down depan dan monoshock belakang serta sistem ABS tunggal.
Honda CBF190TR ini ditawarkan pada harga CNY17,850 (RM11,500).