Ducati Panigale V4 Bakal Dilengkapi Teknologi ‘Seamless-shift Transmission’ Dari MotoGP

Ducati merancang untuk merapatkan jurang antara jentera factory MotoGP dan ‘production’ dengan memperkenalkan sistem ‘seamless-shift transmission’ pada Panigale V4.

Perkara itu didedahkan menerusi satu paten yang telah difailkan pengeluar motosikal Itali itu yang didakwa akan diperkenalkan pada jentera superbike generasi baharu Ducati.

Penggunaan ‘seamless transmission’ akan mengurangkan risiko ‘shift-shock’ di mana bahagian belakang jentera mengalami pergerakan tak terkawal.

Disebabkan sistem ini hanya menggunakan satu klac sahaja dan sering ditukar selepas selesai satu pusingan perlumbaan MotoGP, maka fungsi tersebut dilihat tidak sesuai untuk jentera production.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendedahkan Ducati berjaya menyelesaikan isu tersebut dengan sistem yang seakan menyamai transmisi DCT Honda.

Menurut laporan Motorrad, bagi memastikan klac tidak gagal berfungsi ekoran tekanan yang terlalu tinggi, pendekatan diambil adalah dengan mengunci bilah klac tersebut bagi sekaligus memastikan ketahanan yang lebih baik.

Seamless-shift transmission merupakan sistem yang telah diguna pakai Ducati sejak 2010 menggantikan ‘dual-clutch transmission’ yang telah diharamkan FIM.

Pengharaman itu dibuat setelah mengesan terdapat ‘zero-lag’ diantara pertukaran setiap gear sekaligus bertentangan dengan peraturan MotoGP yang melarang sebarang pertukaran gear secara elektronik.

Menerusi ‘seamless-shift’, beberapa milisaat masih diperlukan bagi proses penukaran gear satu ke gear seterusnya di samping pelumba masih perlu mengakses gear menggunakan kaki.

Sekiranya Ducati berjaya mengimport teknologi gear MotoGP ke jentera ‘production’ langkah ini pastinya sedang dipantau rapat pengeluar motosikal lain antaranya Honda, Yamaha, Kawasaki dan Aprilia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]