Penyelamat Harley-Davidson Mendarat Menerusi Sportster S – Dengan Cornering ABS, Cruise Control!

Selepas tiga tahun sejak memperkenalkan model konsep menerusi 1250 Custom, Harley-Davidson akhirnya merasmikan Sportser S, sebagai penyambung legasi model Sporster jenama itu.

Sportster S ini juga dilihat bakal sertai Pan America sebagai penyelamat jenama syarikat dari Milwaukee itu, ekoran saban tahun merekodkan penjualan yang kurang memberangsangkan.

Bernadikan 1250 Revolution Max, enjin 1,252cc V-Twin DOHC dengan penyejukan cecair itu menawarkan 121hp dan 127Nm sekaligus menjadikan model ini antara yang paling berkuasa dikalangan model Harley-Davidson.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman menunggang, Sportster S turut dilengkapi ciri variable valve timing (VVT) dan ‘self-adjusting lifters, fungsi sama yang terdapat pada model ADV, Pan America.

Dalam usaha menghasilkan jentera yang ringan, bahagian enjin kini juga berfungsi sebagai bahagian yang menyerap tekanan (stressed member engine) yang bertindak sebagai elemen struktur aktif sekaligus mengetepikan fungsi kerangka konvensional.

Hasilnya, Sportster S ini hanya seberat 227 kilogram lantas meningkatkan kawalan tunggangan.

Antara ciri lain ditawarkan adalah penyerap hentakan belakang (jenis piggyback) Showa boleh laras dan fork USD 43mm juga dari Showa, paparan TFT 4″ dengan Bluetooth connectivity, lampu LED penuh dan tiga mod tunggangan dengan dua mod custom, port USB-C , tangki 11.8L dan cruise control.

Sistem membrek dikendalikan kaliper Brembo jenis radial yang dipadankan bersama cakera brek (tunggal) 320mm depan dan 260mm belakang. Namun, kami berasakan dengan tayar depan berukuran 160/70-17, Sportser S ini wajar diberikan cakera brek berkembar dengan dua kaliper monoblock Brembo.

Sportster S ini juga dilengkapi dengan fungsi moden antaranya 6-axis IMU yang menawarkan cornering ABS, traction control, Drag-Torque Slip Control dan tekanan angin tayar.

Harley-Davidson Sportster S ini didatangkan dengan pilihan warna Vivid Black, Stone Washed White Pearl, and Midnight Crimson dan ditawarkan pada harga bermula USD14,999.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.