Peluang Ke MotoGP Sudah Terkubur – Jonathan Rea

Jonathan Rea mengakui peluang untuk beraksi di MotoGP sudah pun ditutup meskipun mendominasi Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dengan enam kejuaraan berturut-turut.

Keputusan berhijrah ke Kawasaki Racing Team (KRT) selepas beberapa musim bersama Honda ternyata membuahkan hasil apabila gandingan Rea bersama jentera ZX-10RR menghadirkan kejayaan berganda.

Dia kini memegang status selaku enam kali juara WorldSBK selepas enam musim bersama KRT.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya umur yang kini telah pun mencecah usia 33 tahun, Rea akui tiada ruang untuknya beraksi di MotoGP.

“Jika saya mahu meninggalkan WorldSBK, saya perlukan sesuatu yang kukuh sebagai pembakar semangat kerana saya sudah selesa dan persekitaran WorldSBK.

“Untuk pertimbangkan MotoGP, saya perlukan sokongan factory tetapi perkara ini tidak pernah berlaku.

“Saya juga rasa peluang ini tidak akan hadir kerana saya kini berusia 33 tahun. SBK adalah dunia saya dan saya gembira,” jelasnya.

Bagaimanapun, Rea mendedahkan rancangan untuk melibatkan diri dalam sukan permotoran motocross profesional selepas bersara dari WorldSBK.

“Saya mahu sertai Anaheim Supercross dan kejuaraan motocross kebangsaan di Ireland Utara. Saya gemar menunggang ‘dirt bike’ jadi saya amat berminat untuk melakukannya,” tambah Rea.

Meskipun peluang untuk Rea ke MotoGP sudah pun terkubur namun dia pernah membuat penampilan sementara di kelas premier itu pada 2012, menggantikan Casey Stoner yang mengalami kecederaan di Repsol Honda.

Rea berjaya menamatkan aksi di Misano dan Aragon di tempat ke-8 dan ke-7 sebelum kembali ke WorldSBK bersama Honda.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]