CEV 2021:Hakim Danish Mahu Hadiahkan Sesuatu Buat Negara – Bapa

Pelumba muda negara, Hakim Danish, bakal membuat penampilan sulung di FIM CEV European Talent Cup hujung minggu ini.

Hakim yang sebelum itu beraksi cemerlang di Asia Talent Cup (ATC) di Qatar dengan merekodkan tiga podium bakal beraksi di ETC bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team di Litar Catalunya bersama rakan senegara, Sharul Ezwan Sharil.

Sebagai pembakar semangat pelumba 14 tahun itu di Sepanyol, bapanya, Ramli Ibrahim, meningatkan anaknya untuk tidak patah semangat dan usaha memburu podium.

“Bersaing di peringkat dunia sudah pasti memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat lebih-lebih lagi untuk mengendalikan jentera motosikal itu di litar yang belum biasa buatnya.

“Jadi sebagai bapa walaupun berjauhan, saya sering mengingatkan Hakim agar konsisten dalam perlumbaan itu selain tidak patah semangat sebaliknya berusaha sebaik mungkin untuk memburu podium.

“Saya berkeyakinan dengan latihan berterusan termasuk berpeluang ke Portugal sebelum ini menyaksikan perlumbaan di sana dan ditambah peningkatan yang dipamerkan ketika beraksi di Qatar sebelum ini, peluang buatnya untuk membuktikan kemampuan di Sepanyol tetap ada,” jelasnya.

Pada masa sama, Ramli mendedahkan anaknya itu ada menyampaikan hasrat ketika dihubungi baru-baru ini.

“Hakim ada memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp untuk menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat negara dan keluarga dalam perlumbaan itu nanti sebagaimana dilakukan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah,” tambahnya.

Saingan di CEV Repsol turut menyaksikan Hakim bakal bersama-sama pelumba negara lain, Adam Norrodin di Moto2 dan Syarifuddin Azma @ Damok di Moto3.

BH