MotoGP: Valentino Rossi Nafi ‘Pancing’ Pedro Acosta Untuk VR46

Pelumba veteran, Valentino Rossi percaya Pedro Acosta bakal menjadi bintang baharu MotoGP pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tujuh kali juara dunia MotoGP itu nafi dakwaan dia merancang untuk membawa Acosta dari Moto3 ke MotoGP musim depan bersama VR46.

“Saya ada terbaca mengenai perkara ini tetapi ia tidak benar.

“Sudah tentu sebagai pelumba kami gembira, Pedro Acosta adalah ‘superhero’ baharu sukan permotoran.

“Tetapi kami akan teruskan dengan projek kami, bersama pelumba akademi VR46,” jelas Rossi.

Acosta ketika ini mendahului kejuaraan Moto3 dengan perbezaan 39 mata dan senario itu pastinya membuatkan KTM Ajo mahu pelumba 17 tahun itu kekal bersama mereka.

Apatah lagi dengan Remy Gardner bakal melangkah ke MotoGP musim depan, slot ke Moto2 kekal cerah buat Acosta bersama KTM Ajo.

Sementara itu, Rossi ketika ini masih lagi belum mengesahkan sama ada akan meneruskan karier perlumbaan musim depan atau memfokuskan pembangunan VR46 bersama penaja Saudi Aramco di kelas premier pada 2022.

Difahamkan, VR46 hampir pasti akan mendapat sokongan factory Ducati musim depan lantas fokus seterusnya adalah menentukan barisan pelumba.

Ketika ini antara calon yang disebut adalah pasangan Avintia, Luca Marini dan Enea Bastianini dengan kedua-duanya mempunyai kontrak secara langsung dengan Ducati musim ini.

Apatah lagi Marini merupakan graduan akademi VR46, menguatkan lagi desas-desus itu.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]