MotoGP: Ketua Kru Maverick Vinales Tinggalkan Yamaha

Ketua kru Maverick Vinales, Esteban Garcia, telah membuat keputusan meninggalkan Yamaha menjelang GP Catalunya, yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Garcia dan Monster Energy Yamaha MotoGP mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama selepas GP Itali, hujung minggu lalu.

Menurut laporan, jawatan ketua kru Vinales kini diambil alih bekas ketua kru Valentino Rossi, Silvano Galbusera sehingga hujung musim 2021.

Pengarah Pasukan Yamaha, Massimo Meregalli, mengucapkan terima kasih terhadap sumbangan Garcia selama ini.

“Esteban sertai kami pada 2019 tetapi dia telah pun bekerjasama dengan Vinales sejak 2013 dan membantu pelumba itu memenangi Kejuaraan Dunia Moto3 pada tahun tersebut.

“Kami berbesar hati atas sumbangan Esteban (Garcia) yang membantu Vinales merekodkan 11 podium, termasuk empat kemenangan, tiga tempat kedua dan empat tempat ketiga.

“Kami mengucapkan Esteban selamat maju jaya,” jelasnya.

Vinales bergelut sejak merekodkan kemenangan di pusingan pertama musim ini di Qatar apabila gagal menaiki podium dalam lima pusingan seterusnya.

Dia kini menghuni tempat keenam kejuaraan dunia dengan 64 mata, dipisahkan 41 mata dengan rakan sepasukan dan pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo.

Saingan MotoGP bersambung hujung minggu ini di Litar Catalunya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.