MotoGP: Jack Miller Kekal Bersama Ducati Hingga 2022

Jack Miller akan terus menyarung warna merah bagi musim 2022 setelah menandatangani kontrak lanjutan bersama Ducati.

Pelumba itu dianugerahkan kontrak sambungan apabila berjaya merekodkan dua kemenangan selepas lima pusingan setakat ini.

Dua kemenangan berturut-turut di Jerez dan Le Mans menjadikan Miller pelumba Australia pertama selepas Casey Stoner melakukannya pada 2012.

Miller ketika ini menduduki tempat keempat perebutan kejuaraan dunia dengan 64 mata, 16 mata dibelakang pendahulu, Fabio Quartararo.

“Saya sangat gembira kerana dapat meneruskan pengembaraan bersama pasukan Ducati Lenovo untuk semusim lagi.

“Menyarung warna ini sememangnya satu penghargaan dan berjaya memenangi dua perlumbaan sebelum ini bersama jentera Desmosedici GP merupakan satu impian!

“Saya kini boleh memberikan fokus sepenuhnya pada musim ini. Saya kini berada di kedudukan keempat dan musim 2021 masih panjang.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk merebut kejuaraan,” jelas Miller.

Saingan MotoGP kembali bersambung dengan pusingan keenam di litar Mugello pada hujung minggu ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.