MotoGP: VR46 Pertimbang Antara Jentera Yamaha Dan Ducati – Valentino Rossi

Valentino Rossi mendedahkan bahawa Yamaha dan Ducati dalam pertimbagan Aramco Racing Team VR46 dalam menghadapi saingan MotoGP 2022.

Meskipun Yamaha sememangnya dalam jangkaan namun peluang untuk beraksi musim depan bersama Ducati turut terbuka menerusi Avintia Racing (Ducati).

Ini kerana Avintia membuat keputusan untuk meninggalkan saingan MotoGP hujung musim ini lantas membuka peluang pada VR46 untuk meneruskan perjanjian dengan Ducati bersama pelumba VR46 sedia ada, Luca Marini.

Bagaimanapun, senario itu turut bergantung kepada Ducati sama ada memilih VR46 sebagai pasukan satelit bagi 2022 atau memberi peluang itu kepada pasukan Gresini yang bakal menamatkan kerjasama dengan Aprilia di akhir musim.

Situasi ini sekaligus menyaksikan Yamaha kekal sebagai pilihan terbaik dengan Rossi.

Apatah lagi dengan masih tiada sebarang kata putus di antara Yamaha dan pasukan satelit Petronas Sepang Racing Team (PSRT) ketika ini, mengukuhkan lagi perjanjian itu akan diberikan kepada VR46.

“Kami sedang berbincang dengan Yamaha dan Ducati, kedua-dua pilihan ini ada kelebihan dan keburukan

“Buat masa ini peluang bersama kedua-dua pengeluar ini adalah 50-50 tetapi keputusan bukan terletak sepenuhnya pada kami.

“Pada pendapat saya, kami akan mengetahui segalanya selepas Mugello,” jelas Rossi.

Sementara itu, sekiranya VR46 menjadi pasukan satelit baharu Yamaha, PSRT berkemungkinan akan beralih kepada Suzuki dengan pengeluar Jepun itu dikhabarkan berminat mewujudkan pasukan satelit bagi 2022. – GPOne

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.