Yamaha YZF-R7 OW-02 1999 Dengan Perbatuan Kosong Ini Untuk Dijual – RM345,300!

Bulan lalu, terdapat laporan seorang pengumpul motosikal di United Kingdom menawarkan beberapa motosikal untuk dijual antaranya Kawasaki ZX7-RR 1996 serta sebuah Ducati 1299 Superleggera 2014.

Kini, individu terbabit turut menawarkan sebuah jentera edisi terhad keluaran 1999, Yamaha YZF-R7 OW-02.

Terhad kepada 500 unit seluruh dunia, jentera bernadikan enjin 750cc ini dijual pada harga GBP59,995 (RM345,300).

Model OW-02 merupakan motosikal “race homologation” yang dibina Yamaha pada 1999 untuk tujuan beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) serta Suzuka 8 Hours.

Jentera ini menawarkan di antara 106hp hingga 162hp bergantung kepada kit prestasi yang diguna pakai.

Lebih menarik, R7 ini masih belum mencatatkan sebarang perbatuan dan berada dalam keadaan “new old stock” di samping belum didaftarkan.

Yamaha R7 merupakan jentera yang dibangunkan dengan data yang diambil daripada YZR500 yang beraksi di MotoGP.