MotoGP: Davide Brivio Bukan Lagi Pengurus Pasukan Suzuki Ecstar

Selepas lapan tahun memegang jawatan selaku pengurus pasukan, kerjasama Davide Briviio dan Suzuki Ecstar akhirnya berakhir.

Tahun 2020 merupakan kejayaan paling manis buat pengendali itu apabila berjaya membawa Suzuki kembali sebagai juara dunia menerusi Joan Mir di samping merangkul Kejuaraan Dunia Pasukan.

Difahamkan, keputusan meninggalkan Suzuki Ecstar dibuat susulan berjaya membawa pasukan itu mencapai kejayaan di samping mahu mengejar cabaran baharu setelah 20 tahun di MotoGP dan 13 tahun bersama Suzuki Ecstar.

Sementara itu terdapat dakwaan, Brivio bakal mengendalikan sebuah pasukan Formula 1.

“Cabaran dan peluang baru telah ditawarkan kepada saya dan kemudiannya saya membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut.

“Perkara yang paling sukar adalah meninggalkan pasukan ini. Sukar untuk saya mengucap selamat tinggal, saya amat berdukacita tetapi motivasi utama saya adalah untuk menghadapi cabaran baharu.

“Merangkul kejuaraan dunia MotoGP adalah sesuatu yang akan terus terukir dalam sejarah Suzuki.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Suzuki atas kepercayaan mereka kepada saya dari awal lagi.

“Menyaksikan Joan Mir muncul juara dunia merupakan impian jadi kenyataan bagi saya termasuk mereka semua yang telah bekerja keras selama ini. Saya selamanya akan jadi peminat Suzuki,” jelas Brivio dalam satu kenyataan.

Aksi MotoGP kembali bersambung pada Februari menerusi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]