223 Kemalangan Di Selangor Berpunca Daripada Jalan Rosak Sejak 2018

Lebih 223 kemalangan berpunca daripada jalan raya berlubang dan rosak direkodkan di Selangor sejak 2018 hingga 2020.

Perkara itu didedahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari’at yang turut memaklumkan 148 daripadanya membabitkan kemalangan maut.

Menurut Azman, penunggang motosikal merekodkan kemalangan maut paling tinggi di Selangor susulan keadaan jalan rosak dengan 116 kes diikuti pemandu kereta (26kes) dan pemandu lori (enam kes) serta pemandu van (satu kes).

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan jumlah kemalangan itu akibat kecuaian pengguna jalan raya sendiri antaranya memandu melebihi had laju bukan semata-mata keadaan fizikal jalan raya sahaja,” jelas Azman.

Isu jalan raya berlubang semakin hangat dibincangkan ketika ini dengan orang ramai mempersoal tindakan pihak berwajib yang gagal memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik.

Terbaru seorang penunggang motosikal berusia 75 tahun maut selepas terbabas ekoran terlanggar lubang diikuti seorang penghantar makanan GradFood turut jadi mangsa jalan berlubang berhampiran The Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini. – BERNAMA

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply