“Tutup Laluan Motosikal Dihujung Minggu Untuk Kegunaan Penunggang Basikal”

Demikian cadangan yang disuarakan Pengasas Komuniti Plan A Bukit Jelutong, Faz Adhili, dalam usaha memastikan keselamatan penunggang basikal terjamin.

Faz meminta agar laluan motosikal di lebuhraya utama membabitkan Lebuhraya Persekutuan, Kesas dan Guthrie ditutup setiap hujung minggu bagi membenarkan penunggang basikal beriadah dengan selamat.

“Ini kerana pada hari minggu aliran trafik di laluan motosikal terutamanya di Lembah Klang sangat rendah.

“Saya berpendapat pendekatan ini sangat efektif dan berkesan dan memerlukan toleransi semua pihak untuk jayakannya,” jelasnya dalam program AWANI pagi.

Cadangan tersebut dikemukakan kerana berpendapat laluan khas basikal yang disediakan di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur tidak dapat digunakan sebaiknya susulan terdapat halangan antaranya kereta yang diparkir.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, turut menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membina lebih banyak laluan basikal. – AWANI