Lawan Arus Dan Sebabkan Dua Kemalangan Hanya Kerana Tiada Kad Touch ‘n Go

Advertisements

Tular rakaman video memaparkan sebuah kereta telah melawan arus di Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA), semalam.

Rakaman video berdurasi 1 minit 14 saat itu memaparkan kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu oleh seorang warga emas melawan arus hingga berlaku kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, kejadian lawan arus itu berlaku apabila warga emas berusia 73 tahun itu hendak ke Tesco di Seksyen 13 dari rumahnya di Seksyen 8, Shah Alam.

Bagaimanapun, disebabkan tersalah jalan, lelaki tersebut telah masuk ke LKSA dan apabila tiba di Plaza Tol Sri Muda dia tidak memiliki kad Touch ‘n Go lantas membuat keputusan melawan arus untuk patah balik ke rumah.

Tindakannya itu turut menyebabkan kereta jenis Honda City – dalam perjalanan pulang ke Kota Kemuning – kemalangan sewaktu cuba mengelak kereta Kelisa terbabit sebelum kemalangan kedua berlaku di lebuh raya sama.

Selepas terlibat dengan kemalangan kedua, warga emas tersebut telah dihantar pulang ke rumah oleh orang awam sebelum anaknya membawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memfailkan laporan polis.

Warga emas terbabit kemudiannya ditahan untuk tindakan selanjut. – Kosmo