Suzuki V-Strom merupakan antara motosikal segmen adventure touring paling popular dalam pasaran dunia ketika ini.
Bagaimanapun, ketika ini hanya tiga varian ditawarkan, 650cc dan 1,037cc manakala versi 250cc hanya terhad kepada beberapa pasaran di Australia, Asia dan Eropah.
Kini, timbul laporan yang mendakwa V-Strom versi lebih kecil – 160cc – akan dihasilkan dengan dengan rakan kerjasama Suzuki di China, Haojue.
Difahamkan, Suzuki-Haojue sedang dalam proses membangunkan sebuah jentera adventure bersesaran 160cc dan akan menggunakan nama V-Strom berdasarkan imej paten yang dikongsikan.
Haojue merupakan rakan bersama Suzuki di China yang baru-baru ini menghasilkan DR300 yang dicanang akan dilencanakan semula sebagai GSX-S300.
Berdasarkan imej tersebut, jelas rekaan keseluruhan diilhamkan daripada V-Strom yang lebih besar penghadang angin tinggi dan tangki yang besar.
Imej tersebut turut menampakkan penggunaan cakera brek depan tunggal, handleguard, lampu LED, fork teleskopik, rim aloi dan bash plate.
Sekiranya Suzuki bercadang untuk memasarkan V-Strom ini dipasaran global, dijangka model ini turut akan didatangkan dengan fungsi Anti-lock Brake System (ABS).
V-Storm 160 ini juga dijangka menggunakan enjin daripada Haojue DR160S yang menawarkan 15hp dan 10Nm.