Triumph Motorcycles bakal mengembalikan model Trident pada 2021 sejak kali terakhir diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.
Seperti model sulung yang dilancarkan pada 1968, Trident 2021 akan terus dikuasakan dengan enjin tiga silinder dan bakal sertai barisan Street Triple dan Speed Triple tahun depan.
Pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia, Fastbikes turut memuat naik pengumuman mengenai model baharu ini di laman Facebook mereka.
Meskipun menggunakan nama Trident namun model baharu ini tidak mengikut acuan sama – retro klasik – yang dipaparkan pada model Trident sebelumnya bagaimanapun, rekaan lampu ikonik berbentuk bulat itu masih lagi dikekalkan.
Mereka di Hinckley buat julung kalinya mendedahkan model baharu ini menerusi jentera prototaip yang ditayangkan hari ini di Muzium Rekaan London.
Prototaip ini memberi bayangan terbaik akan model pengeluaran sebenar yang akan dilancarkan tahun depan di samping harga yang kompetitif.
Pada masa sama, Triumph menjelaskan pemilihan enjin tiga-silinder berbanding silinder berkembar adalah berdasarkan permintaan pasaran yang kini condong ke arah tersebut.
Meskipun dijangka berada dalam lingkungan harga ‘mampu milik’namun Triumph mendakwa model ini akan didatangkan dengan ciri moden seperti yang terdapat pada model sedia ada.