Video ‘Flying Kick’ Penunggang Motosikal, Polis Sarawak Buka Siasatan

Advertisements

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah membuka kertas siasatan terhadap anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu yang dilihat menendang seorang penunggang motosikal dalam rakaman yang tular di media sosial, hari ini.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan namun tindakan akan diambil jika dia didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas,” katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan, sekatan jalan tersebut merupakan sebahagian daripada pemeriksaan mengejut ‘Op Motosikal’ yang dijalankan.

Berdasarkan rakmaan video berdurasi 15 saat itu, seorang penunggang motosikal telah membuat pusingan ‘U’ dalam percubaan melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh polis.

Bagaimanapun, seorang anggota yang turut berada di situ telah bertindak menendang penunggang motosikal terbabit lalu menyebabkannya terjatuh.

Difahamkan, pemeriksaan mendapati penunggang motosikal tersebut menunggang tanpa lesen memandu di samping memiliki cukai jalan tamat tempoh.

Rakaman tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dengan ada yang menyokong tindakan anggota terbabit dan sebaliknya. – HM