Dovizioso Pencabar Utama Kejuaraan Musim Ini – Quartararo

Advertisements

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo menyifatkan Andrea Dovizioso sebagai pencabar utamanya dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Pelumba Ducati MotoGP itu merekodkan kemenangan di GP Austria semalam sekaligus melengkapkan kecemerlangan Ducati di Litar Red Bull Ring buat kali ke-50.

Kemenangan itu membawa seribu satu makna buat Dovizioso yang turut mengesahkan 2020 merupakan musim terakhirnya bersama Ducati sehari sebelum perlumbaan berlangsung.

Pendahulu kejuaraan, Quartararo bergelut dengan masalah jentera sepanjang perlumbaan lalu menyaksikannya menamatkan aksi di kedudukan ke-8.

“Saya mengalami masalah brek yang serius dalam bahagian pertama dan kedua perlumbaan tetapi saya cuba lakukan yang terbaik dan berjaya memperbaiki kedudukan,” jelas Quartararo yang tersasar jauh ketika di Turn 4.

Kemenangan Dovizioso turut meletakkan pelumba Itali itu hanya 9 mata dibelakang Quartararo yang kini perlu kembali semula di litar sama hujung minggu ini.

“Dovizioso lebih berpengalaman berbanding Maverick Vinales, dia tahu bagaimana untuk berdepan situasi seperti ini dan dia juga cukup hebat ketika lap terakhir.

“Jentera Ducati memiliki kelajuan maksima yang mantap jadi sukar untuk memintas dia ketika perlumbaan sementara Vinales dan saya memiliki jentera yang lebih kurang sama dan berdepan masalah sama,” tambah Quartararo.

Petronas SRT perlu kembali mengkaji masalah jentera yang dihadapi Quartararo jika mahu terus mengekalkan pelumba Perancis itu selaku pendahulu kejuaraan MotoGP kerana hakikatnya Dovizioso – yang kini dalam mood ‘nothing to lose – mampu melakar sesuatu musim ini. – GPOne

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.