Demikian kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, Stefan Pierer pada Februari 2017 ketika temu bual bersama Speedweek.
Ketika itu, kenyataan berani Pierer itu kelihatan seakan omong kosong tatkala KTM dianggap pasukan lemah di kelas premier MotoGP.
Namun, setelah tiga tahun berlalu, kenyataan Pierer itu nyata ada benarnya apabila Brad Binder mendukung Red Bull KTM dengan kemenangan sulung di Brno bagi musim 2020.
Tahun 2017 merupakan tahun pertama KTM Factory Racing membuat penampilan di MotoGP dengan GP Qatar menjadi saksi pertama.
Bagaimanapun, pelumba KTM, Pol Espargaro dan Bradley Smith ketika itu gagal mengutip sebarang mata apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 dan 17.
KTM kemudiannya mengutip mata pertama dalam kelas premier dalam pusingan kedua apabila menamatkan aksi di tempat ke-14 dan 15.
Espargaro – selaku pelumba tonggak – kemudiannya terus mempamerkan keputusan memberangsakan bersama jentera RC16 apabila mendapat tempat ke-12 di GP Perancis sebelum naik satu kedudukan di akhir perlumbaan GP Dutch pada tahun sama.
Pelumba itu terus meraih mata penting di GP Republik Czech dan GP Australia apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9.
Prestasi KTM terus dipertingkat dengan Espargaro mengutip mata dalam tujuh pusingan berturut-turut bagi musim 2018.
Kemudian di GP Sepanyol, KTM mengumumkan Johann Zarco sebagai pelumba baharu menggantikan Smith bagi musim 2019 namun gandingan itu seakan tidak menjadi dengan Zarco umum menamatkan kontrak bersama pasukan Austria itu ketika musim 2019 masih lagi berlangsung.
Brad Binder, yang sepatutnya sertai pasukan satelit KTM di Tech3 dinaik pangkat ke KTM Factory Racing mengisi slot ditinggalkan Zarco dan keputusan itu ternyata tepat buat KTM yang kini menempatkan diri mereka di kalangan sang juara di Brno.
Senario itu sekaligus merealisasikan objektif yang disasarakan Pierer tiga tahun sebelum itu.
Projek KTM yang didedahkan menelan belanja lebih EUR30 juta (RM148 juta) setahun kini mula menampakkan hasilnya.
Menurut Pierer, penyertaan KTM di MotoGP bertujuan membuktikan kemampuan jenama itu dipentas tertinggi.
“Dari sudut kewangan, logistik dan teknologi, MotoGP merupakan puncak perlumbaan motosikal. Ia merupakan Formula 1 bagi sukan dua roda.
“Tetapi projek ini memerlukan kesabaran, sasaran kami jelas, kami mempunyai kontrak lima tahun bersama Dorna tetapi kami mahu hampiri podium dalam tempoh tiga tahun.
“Selain daripada berlumba, kami juga mahu menewaskan dominasi pengeluar motosikal Jepun,” kata Pierer, tiga tahun lalu.
Itulah yang ditonjolkan KTM di Litar Masaryk, apabila Binder memintas dua jentera Yamaha untuk muncul juara, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, tatkala pengeluar lain menggunakan kerangka aluminium, KTM terus cekal dengan kerangka steel trellis yang dianggap berat dan tidak relevan untuk bertanding di kelas premier, dakwaan yang sekali lagi berjaya disangkal Pierer berdasarkan pengalaman di rali Dakar.
“Penggunaan rangka steel trellis adalah punca utama KTM mendominasi sukan Supercross (5 kejuaraan) dan rali Dakar (18 kejuaraan).
“Kami mungkin memerlukan 10 tahun untuk berjaya tetapi saya yakin kami akan mendominasi MotoGP satu hari nanti,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dibuat tahun lalu.
Mungkin ada yang berpendapat kemenangan KTM di Brno adalah satu kebetulan ditambah dengan ketiadaan pertahan juara, Marc Marquez namun hakikatnya, semua itu merupakan usaha bertahun-tahun yang telah menelan belanja lebih ratusan juta setakat ini.
Apa yang dipertontonkan ketika ini adalah secebis daripada kemampuan sebenar KTM yang akan ditonjolkan sepenuhnya dalam tahun akan datang.