Setelah beberapa bulan khabar angin mengenai Honda 600RR, akhirnya pengeluar Jepun itu berkongsi previu jentera tersebut.
Pertama kali dicanang oleh Young-Machine tahun lalu, Honda CBR600RR 2021 ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini.
Bagaimanapun, bagi menarik perhatian orang ramai, Honda telah memuat naik video ‘teaser’ mengenai jentera tersebut.
Menerusi video berdurasi 1 minit 16 saat itu jelas menampakkan jentera tersebut didatangkan dengan lampu LED yang lebih tirus, winglets, rekaan fairing baharu dan paparan TFT seperti yang terdapat pada CBR1000RR-R.
Malah, jentera ini juga didatangkan dengan ekzos yang ditempatkan di bawah tempat duduk, sama dengan model sebelumnya.
Pada bulan Mac lalu, Young Machine mendakwa Honda bakal menghasilkan CBR600RR yang diinspirasikan daripada ‘abang besar’ CBR1000RR-R.
Sebelum ini, Honda CBR600RR dianggap sebagai antara jentera segmen 600cc yang terbaik namun Honda terpaksa menghentikan pengeluaran susulan piawaian ketat Euro 4 yang diperkenalkan pada 2017.
Difahamkan, Honda merancang untuk memperkenalkan CBR600RR lebih awal namun ditunda susulan pandemik Covid-19.