Isuzu D-Max 1.9 Versi ‘Stealth’ Mendarat Di Malaysia – RM125,799

Kami sememangnya antara peminat Isuzu D-Max 1.9L sejak diperkenalkan tahun lalu jadi sebaik Isuzu mengumumkan previu varian Stealth ini, kami terus bergegas untuk menyaksikan model ini dengan lebih dekat.

Meskipun diberi nama ‘Stealth’ yang bermaksud ‘secara sembunyi’ namun tiada apa yang ‘sembunyi’ mengenai varian baru ini sebaliknya D-Max 1.9L ini tampak lebih menonjol.

Isuzu D-Max Stealth ini merupakan model dibina berdasarkan varian 4×4 Premium Automatic yang didatangkan dengan enjin 1.9L Ddi Blue Power dan hanya terhad kepada 180 unit!

Model ini didatangkan dengan dua warna pilihan, Stallion Black Metallic dan Silky White Pearl tapi kami lebih gemar menggelar dua pilihan warna ini sebagai Snake Eyes dan Storm Shadow, watak dalam G.I Joe!

Isuzu D-Max Stealth ini tampil menonjol dengan penggunaan komponen berwarna hitam menggantikan krom pada bahagian gril depan, lampu depan, lampu fog, kemasan bumper, rail bumbung dan bumper belakang.

Bukan itu sahaja, Stealth turut dilengkapi rim 18 inci dua-tona dengan kemasan merah yang menaikkan lagi imej ‘bad boy’.

Bagaimanapun, bagi kami ciri paling terutama atau ‘piece de resistance’ terletak di bahagian sisi trak pikap ini menerusi sistem Powerstep.

Power Step ini berfungsi dengan menawarkan tapak sokongan untuk pemandu dan penumpang memijak ketika cuba masuk ke dalam kenderaan.

Tapak sokongan itu akan terkeluar secara automatik ketika pintu dibuka namun akan kembali ‘tersorok’ di bahagian sisi sebaik pintu ditutup.

Ruang dalam pula menyerlah dengan tempat duduk kulit berwarna merah dengan tulisan Stealth berwarna perak sekaligus menampakkan elemen sport.

Ciri keselamatan juga dipertingkat dengan kamera rakaman ‘dascham’ iROAD depan dan belakang yang bukan sahaja merakam ketika memandu malah ketika berada dalam tempatk letak kereta.

Fungsi ‘Mod Parking’ akan diaktifkan dengan penggunaan sensor yang akan mengesan jika terdapat sebarang insiden tidak diingini berlaku di depan dan belakang.

Dashcam ini juga boleh disambung ke telefon pintar bagi memudahkan lagi penggunaan.

Bagi yang berminat Isuzu D-Max Stealth ini ditawarkan pada harga RM125,799 (Semenanjung Malaysia) dan RM128,176 di Sabah serta RM128,220.30 di Sarawak.

Isuzu Malaysia turut menawarkan sports roll bar secara percuma atau tambah RM2,000 berbanding RM5,000 untuk T-Lid Cover bagi yang membuat tempahan pada Ogos.

Untuk maklumat lanjut layari www.isuzu.net.my/pickup atau Facebook Isuzu Malaysia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]