Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan pembatalan Shell Malaysia MotoGP 2020.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.
Mengikut perancangan acara permotoran terbesar di Malaysia itu sepatutnya berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November ini namun pandemik Covid-19 telah memaksa penganjur, Dorna Sports mengadakan 13 pusingan perlumbaan di sekitar Eropah sahaja.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia sertai Amerika, Argentina dan Thailand dalam senarai perlumbaan ‘flyaway’ yang dibatalkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, meluahkan rasa dukacita terhadap pembatalan musim ini apatah lagi dalam tahun pertamanya sebagai CEO baharu menggantikan Dato Razlan Razali.
“Kami berasa kecewa kerana tidak dapat menyaksikan pelumba dan pasukan tempatan – Hafizh Syahrin, Kasma Daniel, Khairul Idham Pawi serta Petronas Sepang Racing Team (SRT) – beraksi di laman sendiri.
“Bagaimanapun, susulan pandemik Covid-19, kami juga perlu mengambil kira keselamatan orang ramai.
“Apa yang penting adalah mengekalkan sokongan terhadap pelumba tempatan yang sedang bersaing ketika ini. Kami berharap akan kembali lebih hebat bagi musim 2021,” jelasnya.
Ini merupakan julung kalinya GP Malaysia tidak akan berlangsung selepas lebih 20 tahun penganjuran.
Sementara itu, orang ramai yang sudah pun membeli tiket lebih awal boleh memohon bayaran balik dengan menghantar maklumat menerusi e-mel ke [email protected].