Lambakan Helmet Tiruan, Kejar Keuntungan Atas Nyawa Orang Lain Atau Sekadar Penuhi Permintaan?

‘Supply and demand’.

Konsep perniagaan yang cukup mudah untuk difahami, sekiranya ada permintaan maka menjadi ‘tanggungjawab’ penjual untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Betul ke semudah itu?

Helmet merupakan elemen penting bagi penunggang motosikal, bukan sebagai alat bergaya tetapi penyelamat ketika menunggang di jalan raya.

Bagaimanapun, ramai yang terpaksa berputih masa helmet berpangkat ‘high end’ ditawarkan pada harga yang tinggi.

Kini, semua orang ‘mampu’ memiliki helmet seperti Arai, AGV dan SHOEI pada harga yang jauh lebih murah sehingga tak masuk akal menerusi helmet tiruan.

Penjual helmet tiruan ini juga mudah dihubungi menerusi platform laman sosial antaranya di Instagram dan Facebook – dan platform e-dagang lain seperti Lazada dan Shopee – dan menawarkan helmet tiruan pelbagai jenama.

Persoalannya, apakah etika sebagai penjual untuk mengaut untung untuk dengan penjualan helmet tiruan yang tidak selamat?

Apatah lagi, penjualan helmet tiruan adalah salah di sisi undang-undang tatkala melanggar hak cipta jenama terbabit.

Setiap helmet original yang dijual di Malaysia perlu ada tanda SIRIM atau ECE22.05 yang bermakna helmet tersebut telah menjalani ujian keselamatan dan ketahanan sekaligus menawarkan perlindungan terbaik bagi si pemakai.

Manakala helmet tiruan, tidak menjalani sebarang ujian sekaligus sebagai pengguna kita tidak tahu sejauh mana tahap selamat yang ditawarkan.

Sekurang-kurangnya, helmet MS88 juga telah mendapat kelulusan SIRIM setelah menjalani ujian ketahanan berbanding helmet tiruan.

Pada masa sama, harga bagi memiliki sebuah helmet tiruan tidak murah seperti yang disangka – hanya murah jika dibandingkan dengan versi original.

Sebagai contoh, helmet SHOEI J-Stream original mencecah harga ribuan ringgit manakala versi ‘tiruan’ ditawarkan pada harga sekitar RM200 hingga RM400.

Tahukah anda, dengan RM400 orang ramai boleh mendapatkan sebuah helmet berkualiti dan original antaranya SHARK Ridil yang ditawarkan pada harga RM450 sahaja.

SHARK Ridil juga menawarkan waranti 5 tahun.

Kami juga mendapati ada pihak menjual AGV Pista GPR Carbon pada harga bawah RM1,000 meskipun dengan nilai sama orang ramai boleh mendapatkan sebuah helmet original dan pastinya lebih selamat?

Bagi yang rajin melayan YouTube, terdapat sebuah video yang dikongsi Bike Stop memaparkan bagaimana sebuah helmet tiruan jenama AGV terbelah dua meskipun hanya diuji dengan kelajuan sekitar 48km/j.

Hasil ujian tersebut bukan sahaja mengejutkan malah menggerunkan sekiranya membayangkan kejadian sama menimpa penunggang ketika berlakunya kemalangan.

Bagi mengekang penjualan helmet tiruan, bukan sahaja pihak kerajaan perlu memainkan peranan malah orang ramai juga perlu proaktif untuk tidak memburu helmet yang ada nama semata-mata untuk menarik perhatian penunggang motosikal lain ketika sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Percayalah, tiada yang ambil peduli pun.

Kepada si penjual, fokuslah kepada penjualan helmet original dan selamat kerana itu adalah tanggungjawab semua peniaga kepada pelanggan, jangan nanti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNKK) datang tanya apa khabar.

Pada masa sama, badan penguatkuasa juga harus lebih tegas terutamanya pihak kastam bagi memastikan helmet tiruan ini tidak terus menembusi sempadan negara.

Ikuti kami di YouTube dan Instagram!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]