5 Motosikal 250cc Bawah RM20 Ribu Yang Tak Segan Untuk Dirisik

Bagi yang mencari keterujaan yang lebih berbanding yang ditawarkan motosikal kapcai, jentera 250cc merupakan segmen yang paling sesuai untuk diterokai.

Bukan sahaja harga ditawarkan tak perit – bergantung kepada kewangan juga – malah servis dan penjagaan tidak terlalu membakar poket.

Apatah lagi ketika pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap keadaan semasa kewangan masing-masing, motosikal merupakan pengangkutan terbaik bagi memudahkan pergerakan di samping menawarkan penjimatan terbaik.

Bagi memudahkan pencarian kami senaraikan 5 motosikal 250cc bawah RM20,000 yang tak segna untuk dirisik di kedai motosikal kawasan anda:

  1. Benelli Leoncino 250 ABS

Lengkap dengan Anti-lock Brake System (ABS), Leoncino ini menawarkan ciri sama yang terdapat pada varian 500cc namun dengan sesaran enjin yang lebih kecil.

Rekaan cafe racer dengan suntikan moden juga menampakkan gaya yang menarik perhatian dan ditawarkan pada harga RM14,688!

  1. Benelli TRK 251

Tak minat gaya cafe racer dan mahukan gaya praktikal? TRK 251 merupakan pilihan terbaik.

Menerapkan DNA TRK 502, model ini menawarkan 26.8hp @ 10,500rpm menerusi enjin satu silinder 249cc dengan DOHC.

Rekaan motosikal tourer dengan ‘ground clearance’ yang tinggi termasuk tangki 18L memastikan model ini cukup sesuai untuk tunggangan harian dan jarak jauh.

  1. Modenas Elegan 250

Mencari skuter dengan tahap keselesaan terbaik, Modenas Elegan 250 merupakan pilihan tepat dengan harga sekitar RM13,599 sahaja.

Motosikal jenis skuter sememangnya mudah dikendalikan dan sangat sesuai untuk kegunaan urban. Meskipun ketiadaan fungsi ABS namun ciri lain seperti DRL, paparan LCD yang jelas dan tempat duduk selesa menjadikan skuter ini sebagai pilihan tepat untuk kegunaan harian.

Elegan 250 merupakan alternatif paling mampu milik jika dibandingkan dengan sepupunya Kymco Downtown 250i (RM22,790) malah SYM Cruisym 250i (RM20,021) dan Kawasaki J300 (RMRM31,498) ditawarkan pada harga yang lebih tinggi.

  1. CFMoto 250NK

Kalau inginkan jentera berkonsepkan motosikal naked dan moden, CFMoto 250NK merupakan model pilihan.

Apa yang menarik perhatian, dengan harga RM12,800 (standard) dan RM13,800 (SE), model ini didatangkan dengan ABS dan paparan berwarna TFT secara standard.

Dijana dengan enjin 250cc, jentera ini menawarkan sekitar 20hp dan 22Nm pada 7,500rpm.

  1. Benelli TNT 249S 2020

Jentera terbaru ditawarkan Benelli bagi tahun 2020, TNT 249s menggantikan model sebelumnya TNT 250.

Ditawarkan pada harga sekitar RM15,888, Benelli TNT 249s menawarkan bunyi yang sedap seakan 4-silinder dan kuasa sekitar 31.5hp dan 20 Nm.

Ciri lain yang menarik perhatian adalah penggunaan lampu LED, fork USD dengan cakera brek berkembar.

Diharapkan perkongsian ini membantu dalam mencari jentera 250cc di bawah bajet RM20,000 untuk kegunaan harian.

Bagaimanapun, perlu diingatkan untuk mengenal pasti kemudahan mendapatkan alat ganti dan pusat servis terdekat untuk masa akan datang.

Ikuti kami di YouTube dan Instagram!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]