Susulan penularan wabak Covid-19, FIM membuat satu lagi pindaan terhadap kalendar MotoGP 2020 dengan membatalkan GP Amerika.
Senario itu sekaligus bakal menyaksikan MotoGP musim 2020 bakal bermula di Argentina.
Sebelum ini GP Amerika dicanang sebagai pembuka tirai MotoGP 2020 tatkala aksi pertama di Litar Losail, Qatar dibatalkan sebelum Thailand membuat keputusan sama susulan kebimbangan Covid-19.
GP Amerika turut mengorak langkah sama tatkala bandar Austin mengumumkan darurat bagi mengambil langkah drastik dalam menangani penularan coronavirus apabila melarang sebarang acara yang melibatkan lebih daripada 2,500 pengunjung.
Ini bermakna, GP Argentina berkemungkinan menjadi hos kepada pembuka tirai MotoGP musim ini dari 17 hinggga 19 April.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna, Carmelo Ezpeleta, turut memberi bayangan bahawa aksi pembuka tirai mungkin akan berlangsung lebih awal dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) antara venue yang dicadangkan.
“Mengikut kontrak dengan FIM, kami perlu mengadakan 13 perlumbaan tetapi kami mensasarkan untuk menganjurkan kesemua 19 perlumbaan. Kami akan berusaha keras untuk melaksanakannnya,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, rata-rata netizen menyokong agar SIC menganjurkan dua kali MotoGP musim ini susulan pembatalan tiga pusingan melibatkan Qatar, Thailand dan Amerika.
Ini berdasarkan keputusan undian yang dikemukakan CEO SIC, Dato Razlan Razali di laman Facebook-nya baru-baru ini.
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!