SUPER GT Malaysia Festival Kembali Bagi 2020!

Malaysia bakal menjadi saksi kepada perlumbaan waktu malam sulung bagi Super GT Series.

Selepas enam tahun menyepi, SUPER GT kembali ke Malaysia pada 16 hingga 19 Julai ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

SUPER GT Malaysia Festival 2020 merupakan satu di antara dua perlumbaan yang diadakan di luar Jepun dan merupakan pusingan 5 daripada Siri SUPER GT Autobacs 2020.

Malaysia bukan negara asing bagi penganjuran perlumbaan GT tatkala pada tahun 2000 dan 2001, muncul sebagai penganjur bagi All-Japan GT Championship dan kejayaan itu menyaksikan Malaysia terus kekal selaku penganjur hingga 2013.

Bagaimanapun, kali ini Malaysia bakal muncul sebagai satu-satunya medan yang menganjurkan perlumbaan GT di waktu malam.

Pengarah Bersama Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan menyifatkan penganjuran kali ini membuka peluang yang lebih besar.

“SUPER GT Malaysia Festival 2020 juga memberi peluang kepada kami untuk mengumpulkan lebih banyak pakej kepada pengunjung. Ini kerana acara ini bukan hanya tertumpu kepada perlumbaan malah lebih dari itu.

“Ini juga acara besar dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020 kerana kami menyasarkan lebih 80,000 pengunjung dalam tempoh empat hari,” jelasnya.

Tidak seperti penganjuran perlumbaan lain, SUPER GT merupakan acara berkonsepkan karnival yang membolehkan pengunjung untuk mendekati pelumba, kereta dan para gadis litar – SUPER GT Race Queens – dengan lebih dekat.

Bagi memeriahkan acara kali ini, Malaysia turut menghantar pasukan wildcard menerusi Jazeman Jaafar dan Dato Adrian da Silva yang akan beraksi dalam kategori GT300 Class menggunakan Porsche GT3 R.

SUPER GT Malaysia Festival 2020 akan membuka tirai dengan sesi ujian bebas pada 16 Julai (Khamis) ini.

Senarai harga tiket:

  • RM100 (K1 Grandstand)
  • RM250 (Main Grandstand)
  • RM2000 (GT Club)

Sementara itu, setiap pelanggan yang membeli tiket berpeluang membawa pulang sebuah Toyota GR Supra serba baharu dengan menyertai peraduan Teka dan Menang.

Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!

VIDEO HARI INI

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply