Vios Challenge Platform Terbaik Asah Skil Berlumba – Mirza Syahmi

Bagi pengunjung yang hadir, Vios Challenge merupakan peluang untuk menyaksikan selebriti diminati dengan lebih dekat namun bagi para pelumba, ini merupakan medan mengasah bakat.

Terutamanya bagi Mirza Syahmi Mahzan, 23 tahun, yang beraksi dalam musim sulung Vios Challenge di Toyota Gazoo Racing Festival.

Menurut graduan jurutera mekanikal itu, dia menyifatkan Vios Challenge merupakan guru terbaik dalam mengajarnya teknik perlumbaan sebenar.

“Vios Challenge mengajar saya untuk mengawal kenderaan di samping mengasah skil pemanduan saya sementara di luar litar, saya belajar cara untuk membuat tetapan kenderaan yang sejajar dengan bidang saya pelajari.

“Saya berharap apa yang saya belajar di kolej sebelum ini dan mengaplikasikan ke dalam arena perlumbaan sekaligus membentuk karier saya.

“Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan berlumba dan membuat tetapan sendiri,” jelasnya.

Minat Mirza bermula dengan bertanding dalma acara gymkhana sebelum beralih ke perlumbaan litar, tiga tahun lalu.

Meskipun baru beraksi dalam musim pertama, dia telah pun merekodkan dua petak pertama dan menamatkan aksi di tempat keenam.

Ketika aksi pusingan pertama kategori Sporting semalam di Batu Kawan, dia mendahului perlumbaan sehingga 5 lap sebelum jenteranya mengalami kerosakan.

“Ini adalah asam garam perlumbaan tetapi saya akui agak terkejut dengan perlumbaan pertama di Kuala Terenganu. Senario berlumba berbeza seperti litar jalan raya kerana silap sikit, pasti akan menghentam dinding konkrit.

“Pada masa sama, kelas Sporting cukup sengit kerana ramai pelumba berbakat,” tambah Mirza.

Mirza turut mendapat sokongan daripada ayahnya, Mahzan Abdul Manan yang pada masa sama menggunakan peluang ini untuk menjenamakan perniagaan pemasangan sunroof miliknya di kereta Mirza.

“Acara ini menarik ramai peminat, pengunjung dan publisiti jadi ini juga platform baik untuk peniaga kecil seperti saya,” jelasnya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply