Pelumba Avintia Ducati, Johann Zarco mengakui jangkaannya meleset apabila menyangka mampu merekodkan catatan masa lebih pantas ketika ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
SIC merupakan platform sulung Zarco dalam menguji jentera Avintia selepas tidak terlibat dalam aksi ujian di Valencia dan Jerez, November lalu.
Zarco mendakwa senario dilepaskan KTM lebih awal di samping masa pendek ketika bersama LCR Honda menjejaskan aksi sulungnya.
“Saya mengharapkan keputusan yang lebih baik, pada awalnya saya menyangka akan merekodkan masa yang lebih pantas.
“Tetapi banyak perkara yang saya pelajari selepas 54 lap. Saya perlu bertenang dan cuba memahami jentera Ducati dengan lebih baik,” jelasnya.
Zarco bergelut ketika bersama KTM sehingga bekas pasukannya itu menyifatkan moral pelumba itu memberi kesan negatif terhadap seluruh pasukan.
Bagaimanapun, dia kini menegaskan Ducati memberi sokongan penuh terhadap dirinya.
“Saya banyak mendapat sokongan dari Ducati, mereka benar-benar mengambil info penting dari saya. Pada masa sama, mereka juga memberitahu saya untuk mengambil masa dalam menyesuaikan diri,” tambahnya.
Hari kedua ujian pra-musim Winter Test bersambung hari ini.
(SUMBER: Motorsport)