Pemandu Mabuk, Haramkan Arak Atau Pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987?

Advertisements

Gesaan mengharamkan kapcai bawah 150cc kedengaran setiap kali berlakunya kemalangan membabitkan motosikal namun bila si pelaku adalah si mabuk yang memandu kenderaan empat roda, kelantangan sama tidak lagi kelihatan.

Baru-baru ini, berlaku kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda yang merempuh tiga penunggang motosikal dengan pemandu terbabit disyaki memandu dalam pengaruh alkohol.

November tahun lalu, seorang pegawai bank yang baru menyambut hari lahir ke-28, maut selepas keretanya dirempuh kereta jenis Nissan Almera.

Sumber: Harian Metro

Mangsa, Nurul Liana Atira Zolkepli yang memandu Honda Jazz, dirempuh seorang lagi pemandu wanita yang memandu Nissan Almera.

Pelaku terbabit – yang turut disyaki memandu dalam keadaan mabuk – melarikan diri sejurus selepas menyebabkan kemalangan sebelum dicekup 24 jam kemudian.

Tidak lupa juga, seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBP) maut dirempuh pemandu wanita warga China yang turut memandu dibawah pengaruh alkohol.

Sumber: Astro Awani

Beberapa bulan sebelum itu, seorang pekerja ladang telah menyebabkan kematian dengan melanggar seorang wanita yang sedang berniaga nasi lemak dengan kereta jenis Proton Saga.

Menurut laporan Harian Metro, pemandu terbabit turut memaklumkan orang ramai yang berang di tempat kejadian bahawa insiden itu bukan kesalahannya kerana dia terlalu mabuk dan khayal sehingga tidak sedar apa yang berlaku.

Insiden menjelikan itu turut dirakam netizen yang memaparkan pemandu tersebut berseloroh sambil ketawa di tempat kejadian.

Pada Mac tahun lalu, Astro Awani melaporkan pihak Kementerian Pengangkutan sedang meneliti cadangan bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Astro Awani

Pindaan itu bertujuan untuk meningkatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya sehingga menyebabkan kematian TERUTAMANYA BAGI YANG MEMANDU DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL.

“Cadangan” terbabit pernah dibangkitkan pada 10 Julai 2018 ketika Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, melepaskan 22 peserta konvoi ke Bangkok menaiki Porsche bagi Ulang Tahun Porsche ke-70 di Thailand.

Merujuk kepada laporan Berita Harian, Anthony Loke berkata pihaknya akan melihat keberkesanan undang-undang sedia ada untuk menyelesaikan ‘isu’ terbabit.

Bagaimanapun, selepas 562 hari sejak kenyataan itu dibuat, adakah pihak berwajib masih dalam status melihat, meneliti dan mengkaji undang-undang sedia ada?

Setakat ini, mengikut Seksyen 41 Akta 333, individu yang didapati bersalah – menyebabkan kematian – susulan memandu secara berbahaya berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda RM5,000 hingga RM20,000.

Jika dilihat daripada sudut penyelesaian, salah satu daripadanya adalah dengan melarang atau mengharamkan penjualan minuman beralkohol.

Ahli majlis eksekutif Pulau Pinang, Afif Bahardin pernah mencadangkan larangan penggunaan alkohol susulan insiden membabitkan pekerja MBPP di Pulau Pinang.

Namun, perunding keselamatan jalan raya, Karen Goonting, menolak cadangan terbabit seperti dilaporkan FMT.

Karen menyifatkan cadangan itu sukar dilaksanakan sebaliknya cukup dengan menguatkuasakan peraturan sedia ada.

“Ia tidak berfungsi sekarang kerana orang ramai percaya peraturan tidak dikuatkuasakan, jadi mereka tidak akan ditangkap.

“Apabila orang mula percaya mereka tidak boleh lari apabila mabuk ketika memandu, atau terlalu berisiko untuk mencubanya, maka ia dapat dibendung dan orang ramai akan pertimbang untuk ambil teksi dan e-haiing,” jelasnya yang pada masa sama mengakui senario itu akan mengambil masa.

Perunding pengangkutan, Goh Bok Yen, menyifatkan larangan alkohol sebagai ‘melampau’.

“Selain pemandu mabuk, kita juga mempunyai pemandu yang memandu secara melulu dan laju tanpa mengambil kira pengguna jalan raya yang lain, dan mereka yang mengalami masalah emosi seperti pembuli jalan raya.

“Orang-orang ini juga menyebabkan kemalangan, dan mereka tidak semestinya mabuk,” katanya.

Jika meninjau bahagian komen di laman Facebook membabitkan isu ini, rata-rata netizen mahu tindakan drastik diambil antaranya:

Tidak dinafikan setiap senario menghadirkan pelbagai kerumitan tetapi jika isu dibangkitkan melibatkan nyawa kadang-kala solusi terbaik berada di depan mata.

Haramkan arak atau pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 agar mana-mana individu tidak sewenangnya memandu ketika berada dalam pengaruh alkohol.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.