Kebanyakan motosikal moden ketika ini didatangkan dengan Anti-lock Braking System (ABS) tetapi masih ada segelintir daripada penungggang motosikal yang tidak tahu apakah fungsi ciri tersebut.
Bagi kami di MotoMalaya, sejak bertenggek di Modenas Powerstore Kota Damansara, rata-rata pelanggan yang masuk akan bertanyakan soalan ini, “Apa sebenarnya fungsi ABS?”
Pada masa sama, ada juga yang mempersoalkan mengapa harga sebuah motosikal yang mempunyai keupayaan ABS lebih mahal berbanding yang tiada ABS.
Sebagai contoh, harga bagi sebuah Modenas Pulsar NS200 sekitar RM9,300 namun Pulsar RS200 – yang memiliki ABS – berharga RM11,350 meskipun kedua-duanya mengguna pakai enjin yang sama.
Apa sebenarnya ABS?
‘Threshold braking’ merupakan teknik memperlahankan jentera dengan cara yang paling cepat sambil mengekalkan kuasa brek di tahan optimum.
Bagaimanapun, teknik ini sukar dicapai kerana memerlukan skil dan latihan yang kerap jika tidak tayar akan mudah terkunci.
Malah, setiap jentera mempunyai tahap ‘threshold braking’ yang berbeza jadi amat sukar untuk menentukan tahap membrek yang efisien agar tidak berlakunya kemalangan.
ABS berfungsi sebagai mekanisme keselamatan yang memastikan jentera membrek pada kadar selamat ketika sedang cuba memperlahankan kenderaan.
Menariknya, jentera dengan ABS akan memastikan cubaan membrek tidak akan membawa sehingga tayar terkunci.
Bagaimana ABS berfungsi?
Sebagai penunggang motosikal, insiden terpaksa membrek dengan mengejut gara-gara berdepan pengguna jalan raya yang ‘tak sekolah’sudah menjadi senario harian di Malaysia.
Bagi jentera yang tiada ABS, tayar pasti akan terkunci ekoran menekan brek dengan kuat lalu boleh menyebabkan jentera hilang kawalan lalu terbabas namun, jentera dengan ABS dapat mengelakkan masalah tersebut berlaku.
ABS sentiasa memantau kelajuan dan keadaan tayar dan jika modul tersebut mengesan senario membrek yang tidak normal, ‘solenoid valve’ akan melepaskan tekanan piston pada pad brek – buka dan tutup tanpa henti – sehingga kelajuan tayar depan dan belakang kembali serasi.
Sebagai penunggang, anda hanya perlu menekan brek sekuat mungkin dan fokus mengawal jentera kerana insiden tayar terkunci tidak akan berlaku.
Penting atau tidak ABS?
Hakikatnya, ABS membolehkan jentera berhenti dan membrek dengan lebih efisien dan kelebihan ini sangat penting bagi setiap penunggang yang saban hari berdepan situasi jalan tak rata dan pemandu kereta yang gemar menukar laluan tanpa mengambil kira kehadiran motosikal lain.
Sementara itu, bagi yang berminat untuk mendapatkan Modenas Pulsar NS200 namun gusar kerana ketiadaan ABS, kami difahamkan Pulsar NS200 versi 2020 akan didatangkan dengan sistem ABS! Nantikan maklumat rasmi mengenai model baharu ini dari pihak Modenas dan Bajaj.