Pelajar Perempuan Dihalang Meninggalkan RnR, Dipaksa Bayar RM150

Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) menjadi tapak perhentian bagi setiap pemandu dan penunggang di jalan raya namun sejak kebelakangan ini, RnR bukan hanya tidak selamat malah menjadi sarang bagi individu tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

Baru-baru ini seorang pengguna Twitter bernama Lisa, berkongsi pengalaman menakutkan apabila ditahan seorang lelaki di RnR Nilai Utara.

Dalam kejadian yang berlaku Khamis lalu, kereta jenis Perodua dipandu Lisa bergegar lalu memaksa dia dan rakannya berhenti di RnR berkenaan untuk periksa paras air radiator.

Ketika itu, tiada tanda yang menunjukkan suhu kereta meningkat lantas dia membuka bonet depan untuk menyejukkan kenderaan.


Kemudian, muncul seorang lelaki berusia 46 tahun dan mula bertanyakan tentang keadaan kereta terbabit.

Lelaki itu lalu meminta kain kotor dan mula meletakkan sesuatu ke dalam radiator sebelum menuang air tanpa bertanya terlebih dahulu.

Sejurus selepas itu, lelaki terbabit terus meminta bayaran sebanyak RM150 lantas membuatkan Lisa dan rakannya terkejut kerana menyangka lelaki terbabit ikhlas untuk membantu.

Selepas memaklumkan mereka tiada duit sebanyak itu, lelaki terbabit memaksa mereka melakukan pindahan duit secara atas talian dan mula memanggil beberapa lelaki lain untuk menghalang mereka meninggalkan RnR itu.


Bagaimanapun, ketika berada di dalam kereta, Lisa dan rakannya berjaya menghubungi pihak polis yang kemudiannya tiba dan menahan lelaki terbabit.

(SUMBER: World Of Buzz)