Reviu HJC C70 Selepas 1000KM: Harga Tak Perit, Ciri Kelas Dunia

Pilih helmet bukan perkara mudah kerana bukan sahaja reka bentuk dan warna perlu diambil kira malah harga dan ciri yang ditawarkan juga perlu dititiberatkan.

Bagi dunia luar, mungkin setiap helmet tampak sama tapi bagi jiwa dua roda, helmet bukan sahaja menampilkan gaya malah medium penting menyelamatkan nyawa.

Baru-baru ini, pengedar HJC di Malaysia, NKS, memberi MotoMalaya peluang untuk menguji produk baharu helmet dari Korea itu, HJC C70.

Tergolong dalam segmen helmet ‘touring’, C70 – dengan bahan polikarbonat –  bukan dicipta untuk kegunaan litar – Bukit Tinggi International Circuit (BTIC) dikecualikan – namun sebagai helmet kegunaan harian.

HJC C70 didatangkan dengan berat 1600 gram bagi saiz XL – sememangnya agak berat tetapi dengan harga RM949 pastinya perlu ada tolak ansur.

Pada pemakaian awal, bahagian pad rasa agak ketat namun selepas penggunaan 1000km – pad mula mengikut saiz kepala dan keselesaan mula dirasai namun bahagian kepala masih rasa padat dan tiada isu’longgar’.

Meskipun tampak garang bagaikan helmet untuk kegunaan litar namun HJC C70 hanya selesa untuk kelajuan normal – 0 hingga 160km/j namun pergi laju dari itu dan keseluruhan helmet mula bergegar.

Dalam bahasa mudah, C70 sesuai bagi yang patuh had kelajuan di Malaysia.

Sementara itu, bahagian ‘chin strap’ menggunakan slot ‘micro buckle’ yang mudah ditanggalkan dengan hanya sebelah tangan.

Menariknya, selepas 1000km, bahagian ‘micro buckle’ masih utuh dan terasa masih ‘dara’.

Bagi menangani cuaca terik di siang hari, HJC C70 turut menawarkan ‘sun visor’.

Aliran udara juga memadai dengan corong udara di bahagian dagu dan satu corong udara di bahagian atas namun dalam keadaan panas terik, insiden ‘lecak’ tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, bahagian pad dalam boleh ditanggalkan untuk dibasuh.

Bagi penunggang yang mencari helmet dengan reka bentuk menarik dan pilihan warna pelbagai disamping menawarkan harga mampu milik dan ciri keselamatan berkualiti, HJC C70 menawarkan semua ciri terbabit dibawah RM1000.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply