Baju Hujan Sangkut Di Sproket, Murid Tahun 4 Maut Dijerut

Seorang kanak-kanak 10 tahun meninggal dunia selepas baju hujan yang dipakainya tersangkut di bahagian sproket motosikal dalam kejadian yang berlaku semalam.

Mangsa, Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli ketika itu sedang membonceng dibelakang motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang ibu saudara.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku di Kampung Gong Tanah Merah, Jerteh, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad menjelaskan bahawa baju hujan mangsa telah sangkut di bahagian sproket lalu menarik mangsa jatuh ke atas jalan.

Baju hujan tersebut kemudiannya menjerut bahagian leher mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal di tempat kejadian.

Pada 2016, seorang remaja 16 tahun maut dalam satu kejadian di Machang, Kelantan, apabila kain kakaknya – yang sedang membonceng dibelakang – tersangkut di bahagian sproket lalu menyebabkan kemalangan.

Kemudian pada 2018 di Butterworth, Pulau Pinang, seorang lelaki berusia 35 tahun turut menemui nasib sama apabila kain jaketnya tersangkut di bahagian rantai motosikal.

(SUMBER: Harian Metro)